Kulit yang bersinar dan bersih merupakan asas kepada kecantikan yang natural. Kulit yang sihat, bersinar dan sihat ini mampu dicapai dengan paduan rutin penjagaan wajah yang betul.

Dengan amalkan rutin ini, insyaAllah anda mampu memiliki kulit idaman anda. Hijabista kongsikan lima perkara yang wanita berkulit sihat lakukan pada setiap pagi.

1. Cuci Wajah 2 Kali Sehari

Jika anda sudah amalkan rutin ini, tahniah! Anda berada di jalan yang betul untuk mendapatkan kulit yang sihat dan bersinar. Mencuci wajah dua kali sehari adalah rutin yang ideal dan ia seharusnya dilakukan secara konsisten. Liang pori kulit wajah lebih mudah tersumbat dengan kotoran, toksin dan banyak lagi yang boleh menyebabkan kulit anda merengsa.

Dengan cucian dua kali (pagi dan malam), ia akan memudahkan kulit anda untuk menyingkirkan sel kulit mati. Syaratnya, dapatkan pencuci wajah yang sesuai dengan kondisi kulit anda. Normal, kering, berminyak atau kombinasi, periksa dan ketahui jenis kulit anda sebelum membeli pencuci muka yang sesuai.

2. Sapu SPF Tanpa Gagal

Surprisingly tidak ramai di antara kita yang memakai SPF atau sunscreen secara konsisten. Tahukah anda bahawa ia sangat penting untuk kesihatan kulit wajah? Jangan sesekali anda skip langkah ini kerana sinar UV mampu merosakkan sel kulit yang mengakibatkan kemunculan tanda-tanda penuaan pra-matang. Masih belum terlambat untuk anda masukkan rutin ini ke dalam regimen kecantikan harian anda.

3. Guna Produk Antioksidan

Biasanya antioksidan ini datang dalam bentuk serum dan ia mampu menghalang serta melambatkan proses penuaan pra-matang. Antioksidan ini juga mampu melindungi kulit wajah anda dari radikal bebas, pencemaran dan juga stres. Pakai serum anda setiap hari di bawah sunscreen dan juga pelembap.

4. Merawat Bintik Seperti Pro

Tidak kiralah bintik itu bintik hitam atau jerawat, rawat ia sebelum ia menjadi lebih teruk. Wanita yang memiliki T-zone yang berminyak selalu mendapati kawasan pipi mereka lebih kering. Gunakan krim anti jerawat yang ditambah asid salisilik pada kawasan yang berminyak manakala gunakan produk pelembap pada kawasan yang kering.

5. Pakai Produk Mekap Yang Betul

Tidak bermakna produk mekap yang popular itu sesuai untuk kulit anda. Kita semua memiliki kondisi kulit yang berbeza dan pastikan anda memakai produk mekap yang sesuai dengan kondisi kulit wajah anda. Anda boleh sahaja bertanya kepada pakar dermatologi atau cari di dalam internet mahupun blog kecantikan tentang bahan yang boleh dan tidak boleh anda pakai.

Nota kaki: Rutin penjagaan wajah yang konsisten dan juga produk yang bersesuaian dengan kondisi kulit akan membuatkan kulit anda sihat dan bersinar. Tidak perlu berbelanja beribu ringgit untuk membuat rawatan di klinik atau spa.

Artikel ini dari https://www.hijabista.com.my